Menjawab Persoalan Maksum Nabi s.a.w
Misionari Kristian mengatakan Jesus tidak pernah melakukan dosa (sinlessness). Sebaliknya mereka melemparkan pertuduhan kepada Nabi Muhammad s.a.w yang tidak bersifat demikian. Lalu mereka cuba membawa beberapa petikan al-Quran serta hadis yang berkaitan diri Baginda bagi menyokong kenyataan tersebut. Apakah hujah-hujah yang boleh kita gunakan untuk menjawab tuduhan tersebut? Mari kita lihatnya bersama-sama.
Antara petikan Ayat al-Quran yang digunakan oleh misionari Kristian untuk membuktikan kenyataan mereka adalah seperti berikut:
- "(Setelah engkau mengetahui perihal Nabi Musa dan umatnya) maka bersabarlah (wahai Muhammad, dalam perjuangan menegakkan Islam); sesungguhnya janji Allah (untuk menjayakanmu) adalah benar. Dan pohonlah ampun bagi salah silapmu, serta bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu pada waktu pagi dan petang." (Surah al-Ghafir: 55)
- "Oleh itu, maka tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, dan mintalah ampun kepada-Nya bagi salah silap yang engkau lakukan, dan bagi dosa orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan; dan (ingatlah), Allah mengetahui akan keadaan gerak-geri kamu (di dunia) dan keadaan penetapan kamu (di akhirat)." (Surah Muhammad: 19)
Selain itu mereka juga memetik daripada hadis Rasulullah s.a.w iaitu:
- Nabi s.a.w pernah bersabda, "Demi Allah! Sesungguhnya aku minta ampun kepada Allah dan bertaubat kepada-Nya dalam sehari lebih daripada tujuh puluh kali." (Sahih Bukhari)
- Sabda Baginda lagi, "Wahai manusia! Bertaubatlah kepada Allah, sesungguhnya aku bertaubat kepada-Nya seratus kali dalam sehari." (Sahih Muslim)
Jawapan yang boleh diberikan oleh seorang dai bagi menjawab tuduhan-tuduhan ini ialah seperti kata pepatah Melayu; Gajah di pelupuk mata tak nampak, semut di seberang lautan nampak.
Misionari Kristian terlalu banyak mencari serta membongkar kesalahan orang lain sehingga menyalahi kenyataan Jesus dalam Bible yang berbunyi: "Judge not, and ye shall not be judged: condemn not, and ye shall not be condemned: forgive, and ye shall be forgiven." (Luke 6:37, KJV) yang bermaksud ("Janganlah kamu menghakimi, maka kamu pun tidak akan dihakimi. Dan janganlah kamu menghukum, maka kamu pun tidak akan dihukum; ampunilah dan kamu akan diampuni." (LAI)
Sehubungan persoalan di atas, Ahli Sunah Waljamaah bersepakat mengatakan Nabi Muhammad s.a.w (serta para anbiya lainnya) bersifat maksum (terpelihara daripada perbuatan dosa). Sekiranya wujud kesalahan dilakukan, maka seluruhnya telah diampuni Allah s.w.t.
Ini dinyatakan juga di dalam al-Quran melalui firman-Nya, "Kemenangan yang dengan sebabnya Allah mengampunkan salah dan silapmu yang telah lalu dan yang terkemudian, dan menyempurnakan nikmatNya kepadamu, serta menambahkanmu hidayah ke jalan yang lurus (dalam mengembangkan Islam dan melaksanakan hukum-hukumnya)." (Al-Fath: 2)
Merujuk dakwaan misionari Kristian keterangan mereka iaitu menurut Imam Raghib al-Asfahani dalam kitabnya al-Mufradat fi Gharib al-Quran, perkataan 'Dzanb' yang termaktub menerusi ayat al-Quran di atas tidak semestinya bermaksud dosa. la turut merujuk segala perbuatan atau kesilapan yang membawa natijah yang kurang baik. Dalam konteks Nabi Muhammad s.a.w yang bersifat maksum, maka "la bukan merujuk kepada dosa yang dilakukan tetapi perbuatan atau kesilapan yang tidak membawa hasil yang memuaskan."
Antara yang diklasifikasikan al-Quran seperti berikut:
- Ketika Abdullah bin Ubai bin Salul, ketua munafik Madinah meninggal dunia, Nabi s.a.w menunaikan solat jenazah serta mendoakannya. Lantas Allah s.w.t menegur Baginda. Firman-Nya berbunyi. Dan janganlah engkau sembahyangkan seorang pun yang mati daripada orang-orang munafik itu selama-lamanya, dan janganlah engkau berada di (tepi) kuburnya, kerana sesungguhnya mereka telah kufur kepada Allah dan Rasul-Nya, dan mereka mati sedang mereka dalam keadaan fasik (derhaka). (Surah at-Taubah: 84)
- Nabi s.a.w pernah mengharamkan madu dan hamba perempuannya untuk dirinya. Lantas Allah dengan firman-Nya berbunyi, "Wahai Nabi Mengapa engkau haramkan (dengan bersumpah menyekat dirimu daripada menikmati) apa yang dihalalkan oleh Allah bagimu, (kerana) engkau hendak mencari keredhaan isteri-isterimu? (Dalam pada itu, Allah ampunkan kesilapanmu itu) dan Allah sememangnya Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah at-Tahrim:1)
- Nabi s.a.w pernah bertoleransi dengan golongan munafik yang tidak mahu mengikuti perang Tabuk. Lantas Allah s.w.t menegur Baginda dengan firman-Nya berbunyi, "Allah memaafkanmu (wahai Muhammad), mengapa engkau izinkan, mereka (tidak turut berperang) sebelum nyata bagimu orang-orang yang benar dan (sebelum) engkau mengetahui orang-orang yang berdusta?" (Surah at-Taubah: 43)
- Allah s.w.t menegur Baginda di atas tindakannya mengambil tebusan tawanan perang Badar. Firman-Nya, "Kalaulah tidak (kerana) adanya ketetapan daripada Allah yang telah terdahulu, tentulah kamu ditimpa azab seksa yang besar disebabkan (penebus diri) yang kamu ambil (daripada orang-orang tawanan) itu." (Surah al-Anfal: 68)
Merujuk keempat-empat peristiwa di atas, ternyata Nabi Muhammad s.a.w juga seorang insan yang tidak terlepas daripada sifat-sifat kemanusiaan (al-Aradhul Basyariyah). Dalam konteks ini, Baginda makan, minum, tidur, sakit, gembira, susah dan sebagainya. Sebagai seorang manusia Baginda tidak terlepas daripada 'kelupaan' serta kesalahan yang tidak membawa kepada dosa'. Di mana peristiwa di atas merupakan refleksi daripada sifat-sifat kemanusiaan (al Aradhul Basyariyah) dirinya.
Namun timbul pertanyaan, tidakkah ia bercanggah dengan sifat kemaksuman para Nabi a.s? Secara realiti ia semakin mengukuhkan sifat kemaksuman (sinlessness) Baginda. Ini disebabkan apabila diteliti secara spesifik, ternyata setiap kali Nabi s.a.w melakukan kesalahan sudah pasti Baginda mendapat teguran Allah s.w.t. Di mana Dia tidak membiarkan kekasihnya berterusan melakukan hal yang sama secara berulang kali.
(Artikel ini akan bersambung dalam keluaran IMAN akan datang).
When you subscribe to the blog, we will send you an e-mail when there are new updates on the site so you wouldn't miss them.