fas fa-globe-asia

Our Address

14-2, (Jln 3/27F, Desa Setapak, Wangsa Maju, 53300 Kuala Lumpur)

fas fa-envelope

Email

fas fa-phone-alt

Office No.

+603 41418982

fas fa-headphones-alt

Helpline & Support

+60 18 4684380

Tiada kelebihan lahir dalam keluarga Islam & bukan Islam

Tiada kelebihan lahir dalam keluarga Islam & bukan Islam

Dalam Islam, kalau Tuhan bersifat adil mengapa Dia menciptakan sebahagian manusia (20%) dilahirkan dalam keluarga Islam, manakala sebahagian lain (80%) diciptakan dalam keluarga bukan Islam? Dalam hal ini, manusia yang beragama Islam apabila mati akhirnya akan memasuki syurga. Sebaliknya mereka yang dilahirkan dalam keluarga bukan Islam, apabila mati akan memasuki neraka. Sekiranya Tuhan bersifat adil, sepatutnya Dia menciptakan semua manusia lahir dalam keluarga Islam. Lalu mereka semua diuji yang mana lebih bertakwa.

Soalan begini mungkin akan ditanya apabila seorang dai' berdakwah di kalangan bukan Islam. Mungkin juga persoalan seperti ini bermain-main di fikiran orang Islam. Al-Quran menjawab permasalahan ini menerusi firman Allah s.w.t yang bermaksud:

"Dan (bukanlah tanggungjawab wahai Muhammad, menjadikan seluruh umat manusia beriman), jika Tuhanmu menghendaki, nescaya berimanlah sekalian manusia yang ada di bumi. (Janganlah engkau bersedih hati tentang kedegilan orang-orang yang ingkar itu; kalau Tuhan tidak menghendaki) Maka patutkah engkau pula hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman.?" ( Yunus:99)

Berdasarkan ayat di atas, ternyata sekiranya Tuhan menghendaki semua manusia menjadi orang yang beriman maka ia akan berlaku. Tetapi jika Dia tidak berkehendak hal itu maka tiada siapapun yang boleh memberi hidayah kepada manusia, ini terbukti apabila merujuk kepada kejadian malaikat. Ternyata keseluruhannya mentaati perintah Allah s.w.t serta tidak menderhakai-Nya. Ini sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:

"Mereka (malaikat) tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan."

(At-Tahrim: 6)

Ujian

Namun manusia bersifat sebaliknya. Ini disebabkan kehidupan di atas dunia merupakan sesuatu ujian kepada mereka. Firman Allah s.w.t:

"Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Allah Maha Kuasa ( membalas amal kamu ), lagi Maha Pengampun (bagi orang-orang yang bertaubat)." (Al-Mulk:2)

Firman Allah s.w.t lagi: " Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang-orang yang berdusta. (Al-Ankabut:2)

Berdasarkan kedua-dua ayat ini, tiada jaminan bagi seseorang itu dilahirkan dalam keluarga Islam sudah semestinya dia masuk syurga dan sebaliknya apabila dilahirkan dalam keluarga bukan Islam maka dia pasti masuk neraka.

Penghujung kehidupan

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Ingatlah, sesungguhnya anak-anak Adam itu diciptakan daripada pelbagai macam lapisan; di antara mereka ada yang dilahirkan sebagai orang mukmin, hidup sebagai orang mukmin dan mati dalam keadaan beriman. Di antara mereka ada yang dilahirkan dalam keadaan kafir, hidup sebagai orang kafir, dan mati pun dalam keadaan kafir. Di antara mereka ada yang dilahirkan dalam keadaan mukmin, lalu hidup sebagai orang mukmin, tetapi mati dalam keadaan kafir. Di antara mereka ada yang dilahirkan sebagai seorang kafir dan hidup sebagai kafir tetapi ia mati dalam keadaan beriman." (Diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi di dalam kitab al-Fitan dengan sanad yang sahih).

Berdasarkan hadis ini, ternyata wujud individu yang lahir dalam keluarga Islam yang akhirnya mati dalam keadaan kekufuran. Sebaliknya wujud individu yang lahir dalam keluarga kafir yang mati dalam husnul khatimah (mati yang baik) disebabkan mereka akhirnya beriman (memeluk Islam).

Jelas menerusi sabda Rasulullah s.a.w bahawa dalam Islam yang penting bukan keadaan seseorang itu dilahirkan tetapi penghujung (closing) kehidupannya (kematiannya). Ia sama ada mereka mati dalam keadaan beriman ataupun tidak.

Murtad & syirik

Sehubungan ini, sudah pasti penyebab utama sebilangan umat Islam mati dalam kekufuran disebabkan gejala murtad serta melakukan syirik di penghujung hayat seperti memakai tangkal azimat, ilmu pelaris dan beristi'azah (meminta perlindungan) kepada jin-jin serta orang yang sudah mati.

Dalam hadis yang lain, Rasulullah s.a.w turut menyatakan sebahagian umat Islam memasuki neraka menerusi beberapa perbuatan (selain syirik) yang dilakukannya. Diriwayatkan Ibnu Umar r.a, Rasulullah s.a.w bersabda bermaksud: "Seorang wanita masuk neraka disebabkan seekor kucing yang diikat olehnya, dia tidak memberi makanan kepadanya atau membebaskannya untuk mencari makanan." (Sahih al-Bukhari)

Mesej Islam

Lahir dalam keluarga yang bukan Islam tidak semestinya menyebabkan seseorang individu itu memasuki neraka, turut dibuktikan apabila dia mati sebelum akil baligh, berpenyakit gila serta ketika seruan atau mesej Islam belum sampai kepadanya. Sehubungan ini, al-Quran menegaskan Allah s.w.t Yang Maha Adil tidak akan menghukum suatu kaum atau seseorang itu melainkan apabila mesej atau seruan Islam sudah sampai kepadanya.

Firman Allah s.w.t: "Sesiapa yang beroleh hidayah petunjuk (menurut panduan al-Quran), maka sesungguhnya faedah petunjuk yang didapatinya itu hanya terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesan buruk kesesatannya hanya ditanggung oleh dirinya juga. Dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja). Dan tiadalah kami mengazabkan sesiapa pun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah)." (Al-Israa': 15)

Berdasarkan ayat ini, sekiranya seruan Islam tidak sampai kepada sebilangan orang kafir, maka dia tidak akan diminta bertanggungjawab ke atas perbuatannya. Namun dia akan dihukum Allah s.w.t secara adil berdasarkan 'peluang yang ada pada dirinya'.

Firman-Nya yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu). Dan kalaulah (amal yang seberat zarah) itu amal kebajikan, nescaya akan menggandakannya dan akan memberi, dari sisi-Nya, pahala yang amat besar." (Surah an-Nisaa': 40)

Sebagai contoh, sekiranya dia mempelajari bidang sains yang menyatakan akan semula jadi wujud hasil daripada penciptaan, maka dia sebagai seorang yang belum memeluk Islam wajib mempercayai kewujudan Tuhan. Sekiranya dia menerima konsep ini, dia mempunyai harapan memasuki syurga sekiranya dia menolak, dia akan dihukum ke dalam neraka. Allah s.w.t itu Maha Adil.

Oleh hal demikian, lahir dalam keluarga Islam seolah-olah memiliki pelbagai kelebihan. Ini dilihat dari sudut ilmu Islam sampai kepada individu sama ada menerusi institusi kekeluargaan, pendidikan mahupun masyarakat Islam, Sebaliknya lahir dalam keluarga bukan Islam secara umum agak sukar memperolehi mesej Islam. Ia disebabkan faktor bergelumang dengan unsur syirik dan seumpamanya. Sehubungan ini seolah-olah ujian lebih mudah sekiranya lahir dalam keluarga Islam.

Namun Allah s.w.t Maha Adil jika diuji dengan ujian yang mudah, sudah pasti mudah untuk mencapai markah yang tinggi. Namun, jika diuji dengan ujian yang sukar untuk diatasi maka ia akan mencapai markah lulus yang rendah. Hakikatnya tiada kelebihan lahir dalam keluarga Islam mahupun bukan Islam. Ini disebabkan yang paling diambil kira ialah mati dalam apa keadaan, bukan lahir dalam apa keadaan.

  • Hits: 112